Stadium Nasional Bukit Jalil bakal berwajah baru pada tahun 2020

Kickbola.net Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), menerusi anak syarikatnya, Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB), dilantik untuk membangunkan semula Kompleks Sukan Bukit Jalil, menjadi sebuah kompleks sukan baru yang diberi nama Kuala Lumpur Sports City (KL Sports City), yang dijangkakan bernilai RM1.6 bilion.
Stadium Bukit Jalil Dinaik Taraf Dengan Jumlah RM1.6 bilion

Dari luar macam Allianz Arena, dari dalam umpama Veltins Arena!

Mahu menonton perlawanan bola sepak dalam keadaan selesa sambil meninjau layar markah dengan teknologi penampilan kristal cair (LED) yang bergantungan di bumbung mudah alih atau tutup buka sebagaimana yang ada dalam Veltins Arena, gelanggang kelab Bundesliga, Schalke 04?

Mahu merakam selfie dari luar stadium yang bertatahkan cahaya daripada lampu-limpah diod pemancar cahaya (LED) yang  boleh bertukar warna selain menggambarkan belang Harimau Malaya, sepertimana yang dibanggakan gergasi Bundesliga, Bayern Munich?


Sejauh ini gambaran kasar ini masih di atas kertas tapi ia bakal menjadi realiti berpandukan projek pembangunan semula Kompleks Sukan Negara yang bakal ditransformasikan sebagai Kuala Lumpur Sports City atau Kota Sukan Kuala Lumpur.


Mercu tanda KL Sports City tentu sekali Stadium Nasional, yang sudah mula dimamah usia sejak dibuka 17 tahun lalu apabila Watson Nyambek membakar trek dengan catatan 10.30 saat yang masih lagi bertahan sebagai rekod kebangsaan acara pecut 100 meter lelaki pada kejohanan olahraga pra-Sukan Komanwel, Julai 1998.


Projek yang bernilai RM1.6 bilion itu akan dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), menerusi anak syarikatnya, Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB).


Dalam taklimat kepada wakil media Selasa lalu, Pengarah Eksekutif MRCB, Mohd Imran Tan Sri Mohd Salim, berkongsi pelan pertumbuhan semula kawasan itu yang dibahagikan kepada dua fasa – Projek 1 menjelang Sukan SEA 2017 dan Projek 2 yang akan dimulakan awal 2018.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman dan dua wakil  Populous, Paul Henry dan Brett Wightman.


Populous adalah pakar reka bentuk stadium yang terbabit dalam pembinaan taman Sukan Olimpik London 2012, Stadium Sukan Asia Incheon 2014 di Korea Selatan, pembesaran Etihad Stadium di Manchester, dan stadium baharu untuk kelab bola sepak Tottenham Hotspur FC di utara London.



Dalam Projek 1, kerja pembangunan RJSB turut membabitkan Stadium Putra, Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Hoki Nasional, mengambil kira kemudahan bersepadu termasuk laluan pengangkutan awam sedia ada dan laluan pejalan kaki di seluruh kawasan berkenaan.  ‎




Apabila ia selesai dan Sukan SEA berakhir, RJSB akan memulakan pembangunan Projek 2 awal tahun 2018 dengan mewujudkan KL Sports City, hab sukan bersepadu sepenuhnya yang merangkumi kemudahan bertaraf dunia termasuk kemudahan latihan sukan berprestasi tinggi, Pusat Rehabilitasi Sains Sukan, Taman Belia, kemudahan sukan awam, Muzium Sukan, asrama belia, pusat konvensyen dan pusat membeli-belah serta tempat parker bertingkat.


Yang penting, menurut Mohd Imran, pertumbuhan semula hab sukan itu bertujuan memastikan kemudahan yang disediakan mampu menjana pendapatan buat pengendalinya, PSM, tanpa bergantung kepada geran kerajaan.


Cabaran buat PSM pula sudah tentu memastikan kemudahan sukan antarabangsa menepati piawaian badan induk antarabangsa, misalnya untuk perlawanan bola sepak antarabangsa menepati syarat-syarat FIFA dari aspek penganjuran, keselamatan dan langkah-langkah pencegahan serta pentingnya pusat kawalan atau command control di stadium utama.


Contoh lain pula platform terjun selebar 4 meter menepati syarat FINA harus dibina tanpa bersandarkan besi tambahan yang boleh membahayakan penerjun.

Hab sukan ini juga harus dilengkapi ciri-ciri keselamatan terunggul dengan televisyen dan kamera litar tertutup bagi memastikan langkah-langkah keselamatan disediakan untuk pengguna awam.


Apabila siap kelak, Kota Sukan KL ini akan mentransformasikan Bukit Jalil sebagai satu ikon kebanggaan negara yang harus diibaratkan seperti sebuah taman sukan yang menawarkan keselesaan bukan saja untuk atlet berprestasi tinggi, tetapi untuk penonton dan pengguna beriadah

Share on Google Plus

Tentang ObsesBola

Ex Gilfriend Christiano Ronaldo, sedang berusaha memenangi hati Gareth Bale, bukan kerabat Paris Hilton, penulis bertauliah..
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment