Harimau Malaysia ganti Harimau Malaya!

Kickbola.netBerkuat kuasa hari ini, 2 Februari 2016, skuad kebangsaan mengguna pakai nama gelaran rasmi baharu HARIMAU MALAYSIA ‪#‎TunjukkanBelangMu‬. Skuad bola sepak kebangsaan kini menggunakan "Harimau Malaysia" sebagai nama jolokan baharu bagi menggantikan "Harimau Malaya".
Skuad bola sepak negara kini dipanggil "Harimau Malaysia"

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjelaskan, gelaran rasmi baharu ini dapat memberi gambaran jelas bahawa skuad kebangsaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Bagi melancarkan era baharu bola sepak Malaysia mulai tahun 2016 ini, FAM berasakan nama gelaran Harimau Malaya yang sering kali diguna pakai sebelum ini sudah tidak lagi sesuai.


"Ini memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, iaitu kira-kira 53 tahun yang lalu.

"Justeru itu, FAM pada hari ini dengan secara rasmi mengumumkan untuk mengguna pakai nama Harimau Malaysia sebagai nama gelaran baharu untuk skuad kebangsaan.


"Gelaran ini juga bertepatan untuk menggambarkan skuad kebangsaan kita adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak yang mungkin selama ini terasa sedikit tersisih dengan penggunaan gelaran Harimau Malaya,” titah Tengku Abdullah pada Majlis Pengenalan Penaja & Pengumuman Nama Gelaran Baharu Skuad Kebangsaan di Hotel The Royal Chulan, hari ini.


Nama gelaran Harimau Malaya pada asalnya merujuk kepada penyerang kebangsaan era 1940-an hingga 1950-an, Allahyarham Dollah Don (nama sebenar Abdullah Mohd Don) apabila gelaran tersebut diberikan kepada beliau oleh Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno selepas menyaksikan kehebatannya dalam satu perlawanan pada tahun 1953.

Sejak itu gelaran Harimau Malaya terus melekat kepadanya sehingga skuad kebangsaan Malaysia turut digelar sebagai Harimau Malaya selama lebih 50 tahun hingga sekarang.


Pada majlis yang berlangsung hari ini, FAM turut mengumumkan empat penaja rasmi yang bersama skuad kebangsaan untuk tahun 2016 iaitu Telekom Malaysia (TM), Bank Islam, Nike dan 100PLUS.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.