Jelius Ating memulakan tugasnya hari ini

Kickbola.net Kemampuaan Jelius Ating sebagai pemain tidak dapat disangkal ketika mengemudi benteng pertahanan Sabah pada tahun 90-an namun kredibilitinya sebagai jurulatih kini akan diuji.
‘Coach’ Baru Sabah Mulakan Tugas

LIKAS: Jurulatih pasukan bolasepak negeri Sabah yang baharu dilantik, Jelius Ating memulakan tugasnya hari ini.

Kelibat bekas jurulatih Piala Belia Bawah 19-Tahun itu dirakamkan penyokong pasukan dalam sesi latihan yang berlangsung petang tadi.

Tanda tanya siapa yang akan mengemudi skuad Badak untuk terus bersaing dalam kempen liga perdana terjawab selepas ‘Orang besi’ Sabah, Jelius Ating diumum menggantikan Steve Vilmiaire, yang berkuatkuasa serta-merta.
JELIUS Kemampuaannya sebagai pemain terbukti dalam mengemudi benteng pertahanan Sabah


Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Musa Aman, turut mengumumkan Datuk Juil Nuatim sebagai pengurus pasukan itu menggantikan Adlane Messelem.

“Selain itu, jawatan ketua jurulatih Piala Belia Bawah 19-Tahun Sabah yang sebelum ini disandang Jelius, akan digalas Awang Sabtu Jamil manakala pengurus skuad Piala Presiden Sabah yang dijawat Datuk Juil Nuatim sebelum ini, akan diganti dengan Azman Mastar.

“Saya juga ingin mengumumkan penolong jurulatih skuad senior Sabah akan digalas Burhan Ajui menggantikan Johnny Dominicus yang diserapkan sebagai pembantu pengendali skuad Piala Presiden Sabah, Justin Ganai sebagai penolong jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah turut mengucapkan tahniah kepada Jelius, Juil dan Awang Sabtu di atas perlantikan itu.

“Saya percaya perlantikan ini amat bertepatan memandangkan mereka mempunyai pengalaman di samping mempunyai kelayakan sebagai jurulatih kelas A.

“Pemilihan tiga calon ini juga adalah manifestasi komitmen dan kesungguhan SAFA dalam meningkatkan prestasi Sabah dalam ketiga-tiga liga berkenaan,” katanya.

Keputusan itu dipercayai dibuat susulan prestasi buruk pasukan itu dalam saingan liga setakat ini apabila menduduki tangga kedua tercorot selepas lapan perlawanan.


Sabah kini hanya mengutip empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan enam kekalahan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.