Petanda James Rodriguez ke Manchester United

Ketika pengendali, Zinedine Zidane membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan James pada minit ke-61 bagi memberi peluang kepada Casemiro, pemain berusia 25 tahun itu mengambil masa melambaikan tangannya kepada setiap sudut penyokong yang hadir ke Santiago Bernabeu. .

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)



Selamat tinggal Bernabeu, selamat datang ke Old Trafford?

Segala persoalan mengenai masa depan bintang Columbia, James Rodriguez bersama Real Madrid seakan terjawab sebaik dia dikeluarkan dalam separuh masa kedua dalam kemenangan 4-1 ke atas Sevilla awal pagi tadi.

Mereka yang hadir ke stadium seakan memahami gerak tubuh pemain itu bingkas bangun memberikan penghormatan.

Ini adalah perlawanan terakhir Real Madrid di laman sendiri musim ini, dan mungkin aksi terakhir James David Rodriguez Rubio bersama kelab serba putih itu.


Saban minggu nama pemain itu sering dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United gara-gara gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Los Blancos sejak berhijrah daripada AS Monaco dengan bayaran perpindahan sebanyak GBP65 juta (RM375 juta).

Pemain kelahiran Cucuta, Colombia itu berhijrah ke Bernabeu pada musim 2014-15 selepas mencuri tumpuan ketika Piala Dunia 2014 di Brazil.

Ketika sesi memperkenalkan James kepada media, presiden kelab, Florentino Perez telah menyerahkan jersi no.10 kepada pemain itu sekaligus meneruskan legasi ditinggalkan Luis Figo dan Ferenc Puskas.

Malangnya, pengendali Real ketika itu, Carlo Ancelotti tidak menurunkan pemain itu dengan kerap ekoran jentera serangan telah pun diisi Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale.

Senario itu turut tidak berubah walaupun selepas Rafael Benitez mengambil alih kerusi Ancelotti selama enam bulan sebelum diserahkan kepada Zidane, Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak menggugat status James sebagai pemain bertaraf dunia.


Dalam 10 penampilan bersama Real dalam saingan LaLiga musim ini, pemain itu telah pun menyumbat tujuh gol.

Ketika ini, Old Trafford tampak sebagai destinasi relevan dengan berita ini hampir pasti mengujakan hati setiap peminat setia The Red Devils.

Ternyata, United yang diterajui keluarga Glazer tidak akan berdepan masalah berbelanja besar untuk James apatah lagi pernah menghabiskan GBP89 juta (RM497 juta) bagi mendapatkan Paul Pogba -- yang ketika ini masih belum beraksi setaraf bayaran dibuat awal musim ini.

Tetapi, dalam perkembangan terbaru, dilaporkan James hanya akan berhijrah ke England seandainya United mara ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Untuk itu, United terlebih dahulu perlu mengatasi Ajax Amsterdam di final Liga Europa sekiranya mahu mendapatkan tiket emas ke Liga Juara-Juara musim depan dan pada masa sama, mendapatkan pemain yang diidamkan mereka.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.