Wonderkid Amerika Syarikat Wan Kuzain Balik Malaysia


Kickbola.netWan Kuzain Wan Kamal.
Pemain Muda AS, Wan Kuzain Balik Malaysia

Wan Kuzain Wan Kamal, anak Malaysia pertama yang mencipta nama bersama kelab bola sepak Amerika Syarikat (AS), Swope Park Rangers akan pulang ke tanah air pada minggu depan.

Menurut bapanya Professor Dr Wan Kamal Napi, Kuzain akan berada di negara ini selama dua minggu untuk bercuti bersama abangnya.


"Insya-Allah dia akan pulang ke Malaysia untuk percutian singkat. Dia akan berlepas bersendirian terlebih dahulu dan akan ditemani abangnya seminggu kemudian. Namun buat masa ini, dia berada di California bersama ejen dan juga rakan-rakannya," kata Dr Wan Kamal.

Jelas beliau, Kuzain akan bercuti di Kuala Lumpur selama seminggu sebelum berlepas ke Sabah seminggu kemudian.

"Dia akan berada di Malaysia selama dua minggu sahaja kerana dia perlu pulang ke AS untuk pendaftaran kelas kuliah sementara musim rehat (Liga AS)," katanya.


Ditanya sama ada Kuzain akan mempertimbangkan untuk beraksi bersama mana-mana kelab di Malaysia, Dr Wan Kamal berkata ia tidak mungkin berlaku.

"Dia tidak akan bermain untuk mana-mana kelab di Malaysia memandangkan dia adalah seorang pemain profesional. Lagipun Liga Malaysia adalah semi profesional," katanya.

Menurut Dr Wan Kamal yang berasal dari Kelantan, mereka sekeluarga juga memilih untuk terus menetap di negara Uncle Sam itu.

"Saya sudah tinggal di Amerika Syarikat hampir 25 tahun. Jadi saya fikir kami akan terus menetap di sini. Lagipun kesemua anak saya lahir di sini, jadi mereka merupakan warganegara AS.

"Jadi mungkin sukar bagi Kuzain untuk bermain mewakili Malaysia," katanya.


Nama pemain berusia 19 tahun itu menjadi sebutan di negara ini selepas menjulang kejuaraan USL Western Conference bersama Swope Park Rangers selepas membenam OKC Energy menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selama 120 minit dalam aksi final, 4 November lalu.

Kuzain atau lebih dikenali dengan gelaran Messi Amerika adalah watak penting dan tulang belakang kepada kebangkitan pasukan itu.

Dia turut pernah beraksi bersama skuad bawah 17 tahun (B-17) AS dua tahun lalu.

Jangan balik Malaysia...'

“Jangan balik!” Itu nasihat pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh buat pemain muda, Wan Kuzain Wan Kamal yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) bersama keluarganya supaya terus kekal di negara itu, sekali gus menggapai impiannya bergelar pemain profesional.

Menurut Serbegeth atau Shebby, potensi yang ada pada Kuzain cukup besar dan beliau bimbang perkembangannya akan terjejas jika pemain berusia 18 tahun itu memilih untuk pulang beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) dan mewakili skuad kebangsaan.

“Saya langsung tidak setuju kalau Kuzain balik dan beraksi bersama pasukan negara atau mana-mana pasukan dalam liga tempatan.

“Memang negara akan rugi jika dia memilih untuk bermain bersama pasukan kebangsaan AS sekiranya ada tawaran kelak, tapi itu jugalah peluang kita nak lihat anak Malaysia bermain dalam Piala Dunia.

“Bagi saya, dia tiada masa depan di sini (Liga-M), namun kalau berjaya memikat kelab profesional di sana, hidupnya akan lebih baik dan secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada pemain Malaysia untuk menjadi sepertinya.

“Saya bukan berniat untuk memburukkan mutu bola sepak sendiri tapi, itulah realiti sebenar. Saya cuma mahu Kuzain berjaya dalam kariernya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan mencadangkan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah awal dengan menawarkan peluang kepada Kuzain menyarung jersi negara.

Jelas Sathianathan, FAM harus mencontohi beberapa negara serantau seperti Thailand yang berjaya memujuk bintang bola sepaknya, Charly Chappuis untuk beraksi dengan skuad Gajah Putih itu.

Malah katanya, Filipina juga sudah menggunakan kaedah naturalisasi bagi menguatkan cabaran pasukan negara itu setiap kali beraksi di pentas antarabangsa dan hasilnya mereka kini berada di ranking FIFA yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

Serbegeth yang pernah dilantik Penasihat Global kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers tidak mahu Kuzain memilih jalan salah seperti mana dilakukan beberapa pemain naturalisasi sebelum ini.

“Kita sudah ada contoh seperti Brendan Gan dan Matthew Davies dengan kedua-duanya boleh mencipta nama dalam Liga Australia.

“Tapi, tengok sekarang, apabila mereka bermain dalam Liga-M dan Harimau Malaysia, potensi mereka nampak terhad dan tidak berkembang.

“Malah, saya juga tidak nampak apa istimewanya mereka dengan pemain tempatan, seperti setaraf saja. Jadi, saya tidak mahu Kuzain mengalami nasib sama nanti,” katanya.


Tags / Kata Kunci: Wan Kuzain , Swope Park Rangerss

Share on Google Plus

Tentang ObsesBola

Ex Gilfriend Christiano Ronaldo, sedang berusaha memenangi hati Gareth Bale, bukan kerabat Paris Hilton, penulis bertauliah..
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment