FIFA denda Russia RM119,568 Isu perkauman keatas N'Golo Kanté

Kickbola.net Pemandangan Arena Volgograd di Volgograd, bandar tuan rumah untuk Piala Dunia FIFA 2018, Russia. - Foto REUTERS .
Isu perkauman, FIFA denda Russia RM119,568

Tuan rumah Piala Dunia 2018, Russia didenda 30,000 Swiss francs (RM119,568) berikutan sorakan berunsur diskriminasi perkauman yang dilaungkan peminatnya, kata Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Insiden membabitkan sorakan itu ditujukan kepada pemain Perancis ketika perlawanan persahabatan antarabangsa membabitkan kedua-dua pasukan di St Petersburg pada Mac lalu.

Seorang jurugambar Reuters yang berada di kawasan berdekatan padang mendengar sorakan seperti bunyi monyet ditujukan kepada pemain Perancis sebanyak beberapa kali yang menyaksikan tuan rumah mencatat kekalahan 1-3.

Ia termasuk apabila pemain tengah, N'Golo Kante datang ke garisan tepi padang untuk membuat balingan.


FIFA berkata pihaknya sudah melakukan "siasatan menyeluruh" terhadap bukti membabitkan video perlawanan sebelum membuat keputusan berkenaan.

Badan induk itu berkata insiden itu dianggap berat tetapi menambah ia hanya membabitkan sebahagian kecil peminat.

Kesatuan Bolasepak Russia (RFU) menerusi inspektor anti diskriminasi, Alexei Smertin ketika diajukan soalan oleh Reuters mengenai insiden berkenaan enggan memberi komen.

Russia sebelum ini sudah berjanji untuk membanteras insiden membabitkan perkauman menjelang Piala Dunia yang bermula bulan depan membabitkan 11 bandaraya di negara berkenaan termasuk Moscow, St Petersburg dan Sochi.

FIFA dalam satu kenyataan berkata mereka akan menggunakan tiga langkah prosedur di Piala Dunia bagi menangani insiden membabitkan perkauman termasuk memberikan pengadil kuasa untuk menghentikan perlawanan. - Reuters

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.